Translate

Friday, December 11, 2020

Pengenalan kepada jenis inflasi


Adakah anda perasan tak bahawa harga barang semakin naik dan kos sara hidup kita semakin bertambah? Sebagai contohnya, pada tahun 1980 sekeping roti canai dijual pada harga RM0.40 manakala harga sekeping roti canai pada masa kini adalah RM1.20. Situasi ini merupakan satu fenomena yang biasa dalam kehidupan kita dan situasi ini boleh dikenali sebagai inflasi. Saya percaya bahawa kamu semua mengetahui apa itu inflasi sebab isu inflasi ini sering dilaporkan di media massa dan kita tidak didorong untuk menabungkan semua duit dalam bank, sebaliknya mengambil sebahagian daripadanya untuk melabur dalam produk yang boleh memberi keuntungan yang lebih tinggi seperti saham, barang emas dan sebagainya. Kebanyakan orang membeli saham, bon, barang emas untuk mengelakkan penurunan nilai wang kerana meraka mengetahui keburukan inflasi tetapi kebanyakan kita tidak tahun apakah sebab berlaku inflasi dan jenis inflasi. Sememangnya, inflasi mempunyai tiga jenis iaitu inflasi tarikan permintaan, inflasi diimport dan inflasi tarikan kos. Mari kita lihat setiap satu jenis inflasi. 

  • Inflasi tarikan permintaan
Inflasi tarikan permintaan merupakan inflasi yang berlaku akibat pertambahan permintaan agregat(AD) apabila ekonomi telah mencapai guna tenaga penuh. Pertambahan permintaan agregat pada tingkat guna tenaga penuh akan menyebabkan berlaku lebihan permintaan dan kekurangan penawaran agregat. Kekurangan stok akan mendorong harga umum meningkat. Faktor yang menyebabkannya ialah pertambahan perbelanjaan agregat(AE). Pertambahan perbelanjaan agregat pada tingkat guna tenaga penuh akan mewujudkan lebihan permintaan akibat pengeluaran tidak dapat ditambahkan lagi. Jadi, kekurangan penawaran ini akan menyebabkan tingkat harga umum naik. Selain itu, pertambahan bekalan wang juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan inflasi tarikan permintaan berlaku. Hal ini kerana pertambahan bekalan wang dalam pasaran wang akan menyebabkan kadar bunga jatuh akibat penawaran wang melebihi permintaan wang. Apabila kadar bunga turun maka kos pinjam juga berkurang dan ini telah menggalakkan orang ramai meminjam. Sebagai kesannya, aktiviti pelaburan dapat dirangsangkan dan AE bertambah kerana pelaburan merupakan salah satu komponen yang diambil kira dalam AE. Sama seperti atas yang telah terangkan bahawa pertambahan AE akan menambahkan AD dan pertambahan AD ini tidak dapat ditampung oleh pengeluar serta wujud lebihan permintaan. Akhirnya, harga barang naik dan berlaku inflasi tarikan permintaan. Faktor ketiga adalah penurunan cukai pendapatan. Pendapatan boleh guna merupakan pendapatan yang boleh kita gunakan selepas menolak cukai. Penurunan cukai pendapatan akan menambahkan pendapatan boleh guna rakyat dan kuasa beli juga meningkat. Peningkatan kuasa beli pengguna akan menambahkan perbelanjaan penggunaa dan perbelanjaan penggunaan ini juga merupakan komponen yang diambil kira dalam AE. Kesannya, AE akan bertambah dan wujud lebihan permintaan. Selepas itu, harga barang naik dan inflasi tarikkan permintaan berlaku. Sesungguhnya, inflasi ini berlaku akibat pertambahan AD dan AD ini dipengaruhi oleh AE. Maksudnya, bila AE naik maka AD akan naik juga dan sebaliknya. Dalam erti kata yang lain, perubahan komponen AE seperti perbelanjaan penggunaa(C), pelaburan(I) dan perbelanjaan kerajaan(G) juga akan mempengaruhi AD.

  • Inflasi diimport
Inflasi diimport merupakan inflasi yang berlaku akibat peningkatan kos atau harga barang input atau bahan mentah yang diimport dari luar negara. Faktor pertama yang menyebabkan inflasi diimport adalah kenaikan harga barang import. Terdapat sebahagian firma yang menggunakan bahan mentah yang diimport dari luar negara dalam proses penghasilan produknya. Antara sebab firma menggunakan bahan mentah yang diimport ialah kekurangan bahan mentah yang diperlukan dalam negara tempatan, harga barang imput yang murah, kualiti barang input terjamin dan sebagainya. Apabila pembekal luar negara menaikkan harga bahan mentahnya, firma tempatan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi berbanding dengan sebelumnya dan kos penghasilan produk akan meningkat. Dengan tujuan untuk mengekalkan keuntungan, firma akan mengalihkan sebahagian beban kos dengan menaikkan harga keluaran. Sebagai kesannya, harga barang akan meningkat dan berlakunya inflasi diimport. Selain itu, kejatuhan nilai mata wang tempatan juga akan menyebabkan inflasi diimport. Kejatuhan nilai mata wang tempatan telah menyebabkan kuasa beli firma tempatan menurun kerana terpaksa membeli barang input dengan harga yang lebih banyak. Impaknya, kos firma bertambah dan penawaran berkurang serta kenaikan harga keluaran firma. Inflasi diimport ini lebih kepada luar negara sebab kos pengeluaran firma dipengaruhi oleh pembekalnya bukan faktor tempatan. Jadi, bagi firma tempatan yang menggunakan bahan mentah yang diimport perlu peka terhadap situasi luar negara seperti ekonomi, politik, dasar dan sebagainya.

  • Inflasi tarikan kos
Inflasi tarikan kos merupakan inflasi yang berlaku akibat kenaikan kos firma seperti kenaikan upah buruh atau harga bahan mentah yang menyebabkan penawaran berkurangan dan harga umum meningkat. Faktor utama yang menyebabkan inflasi tarikan kos adalah peningkatan kos firma. Kenaikan kos seperti upah buruh, bahan mentah, sewa premis, utiliti yang terlibat dalam proses penghasilan produk akan menambahkan kos penghasilan produk. Untuk mengekalkan keuntungan, firma akan menaikkan harga jualan produk bagi mengurangkan beban kosnya. Kesannya, harga barang naik dan berlaku inflasi tarikan kos. Di samping itu, tuntutan daripada kesatuan sekerja untuk menaikkan upah buruh atau elaun juga akan meningkatkan kos firma. Firma terpaksa bersetuju dengan tuntutan kesatuan sekerja sebab firma tidak dapat mencari buruh yang mencukupi dalam masa yang singkat. Walaupun firma dapat cari buruh yang mencukupi tapi dia perlukan masa untuk melatih pekerja baru berbanding dengan pekerja yang telah mahir dalam proses penghasilannya. Selain itu, dasar kerajaan yang berkaitan dengan kenaikan cukai dan pengurangan subsidi juga boleh mempengaruhi kos firma. Sekiranya kerajaan menaikkan cukai dan mengurangkan pemberian subsidi kepada firma maka firma perlu membayar cukai yang lebih tinggi dan juga perlu menanggung kos penghasilan produk yang lebih banyak. Sebagai implikasinya, penawaran agregat akan berkurang dan wujud lebihan permintaan. Akhirnya, harga barang naik juga dan berlaku inflasi tarikan kos.

Ini adalah tiga jenis inflasi yang sering berlaku dalam kehidupan kita. Selepas membaca blog ini, saya percaya bahawa anda akan memahami inflasi dengan lebih terperinci. Inflasi merupakan satu situasi yang tidak boleh diubah dan dielakkan oleh kita maka kita hanya boleh mencari jalan bagi memastikan nilai wang kita tidak turun dengan banyak. Antara caranya mungkin membeli saham, bon, barang emas, ASNB dan sebagainya. Kita digalakkan melabur dalam produk yang mempunyai pulangan yang lebih tinggi daripada penurunan nilai wang akibat inflasi. Walaupun produk pelaburan mempunyai pulangan yang lebih tinggi tapi ia juga mempunyai risikonya. Jadi, sebelum kita melabur dalam sesuatu produk perlu pastikan kita memang faham tentang produk itu bagi mengelakkan kerugian. 



No comments:

Post a Comment