Pada masa kini, hampir semua orang sibuk mengejar kekayaan dengan menyumbankan semua masa dalam pekerjaannya dan tidak meluangkan masa untuk perkara yang lain. Keinginan untuk berjaya dalam kehidupan bukan sesuatu perkara yang negatif tetapi dalam proses mencapaikan matlamatnya kita perlu sentiasa mengekalkan satu keseimbangan. Keseimbangan ini merujuk kepada masa yang kita gunakan untuk mencapai kejayaan perlu diagihkan secara seimbang iaitu bukan menyumbangkan semua masa dalam pekerjaan sahaja sebaliknya kita juga meluangkan masa untuk meningkatkan aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek kita. Hal ini kerana selain daripada pekerjaan, aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek juga boleh mamainkan peranan yang penting dalam menentukan kejayaan. Jadi, hari ini saya ingin berkongsi tentang apa itu faktor kejayaan seimbang (JERI) dan bagaimana kita boleh meningkatkan tahap JERI.
- Jasmani
Jasmani merujuk kepada aspek fizikal iaitu tubuh badan kita. Cuba kita bayangkan seseorang individu yang mempunyai aspek fizikal yang lemah bolehkah dia memberi prestasi yang terbaik dan meningkatkan produktiviti kerja? Jawapannya adalah tidak. Hal ini kerana masalah kesihatan akan mempengaruhi prestasi dan produktiviti kita. Untuk menjaga aspek fizikal kita, kita mesti melakukan senaman yang berterusan, menjaga pemakanan seimbang seperti piramid makanan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Seseorang individu yang mempunyai fizikal yang baik mampu memberikan prestasi kerja yang cemerlang. Selain itu, kita juga perlu melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Hal ini kerana sekirannya kita didapati bahawa menghidap apa-apa penyakit kita boleh melakukan rawatan dengan lebih awal. Apakah makna sekiranya kita mempunyai kekayaan yang banyak tetapi mempunyai tubuh badan yang lemah? Sebab kita sibuk mengejar kekayaan adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan kita maka semasa kita sibuk mengejar kekayaan kita juga perlu memastikan bahawa kita mempunyai tubuh badan yang sihat kerana ia adalah kekayaan dalaman.
- Emosi
Emosi berkaitan dengan aspek psikologi seseorang individu iaitu aspek dalaman yang melibatkan perasaan, cara interaksi dan rasa empati. Memang tidak dapat dinafikan bahawa emosi yang stabil juga boleh meyumbang kepada peningktan prestasi kerja seseorang. Sekiranya seseorang tidak mempunyai emosi yang stabil maka dia tidak dapat fokus dengan kerjanya sebab emosi yang tidak stabil akan menyebabkan dia berfikir secara berlebihan atau negatif. Individu yang berjaya ialah individu yang berupaya mengawal emosinya dan juga emosi orang lain. Hal ini disebabkan dari perspektif yang rasional, kita yang mengawal emosi kita sebaliknya bukan emosi yang mengawal kita. Jadi, kita boleh mengekalkan emosi yang stabil dengan cara menyertai kaunseling dan program pengurusan stres. Tambahan pula, kita juga boleh berkongi kebimbangan kita dengan kawan atau ahli keluarga bagi mengurangkan tekanan jiwa. Selain daripada kecerdasan intelektual, kecerdasan emosi juga amat diperlukan dalam memcapaikan kejayaan.
- Rohani
Rohani merujuk kepada aspek dalaman yang berkaitan dengan jiwa, kepercayaan dan pegangan kita. Kita digalakkan mendekatkan diri kepada tuhan, berpegang kuat pada agama dengan melakukan ibadah yang dituntut oleh agama. Hal ini kerana pegangan agama yang kuat dapat menyemaikan nilai-nilai murni dan sifat-sifat terpuji dalam jiwa kita seperti kejujuran, kerajinan, rasional dan sebagainya. Jadi, seseorang individu yang menpunyai pegangan agama yang kuat sebagai panduan maka dia dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang negatif seperti rasuah, penyelewengan, menipu, mencuri dan sebagainya. Selain itu, rohoni yang positif dapat membantu memberi ketenangan dan kegembiraan sebenar dalam kehidupan kita. Kita boleh membangunkan rohani dengan cara melakukan meditasi, menerima nasihat pakar motivasi, kaunseling, mengikuti pengajian agama dan melakukan ibadah.
- Intelek
Intelek merupakan perkara yang berkatian dengan minda atau mental seseorang individu. Iaitu melibatkan ilmu pengetahuan, kemahiran atau pengalaman yang dimiliki oleh seseorang individu. Kebanyakan kita mengetahui intelek sebab ia adalah faktor utama yang boleh membantu kita mencapaikan kejayaan kita dan juga kita menggunakan sepanjang masa untuk memperolehnya. Intelek juga boleh merujuk kepada kepakaran yang dimiliki oleh kita dan ia membolehkan kita melakukan sesuatu perkara. Sebagai contohnya, ilmu pengetahuan tentang perakuanan amat penting untuk seorang akauntan kerana ia membolehkan akauntan melakukan kerja dengan baik seperti memahami masalah dan keperluan syarikat. Tanpa ilmu pengetahuan kita tidak dapat melakukan kerja dengan lancar dan tidak dapat meningkatkan produktiviti. Seseorang individu boleh meningkatkan tahap inteleknya dengan memperbanyakkan pembacaan, menyertai kursus, seminar, bengkel dan latihan. Individu yang menguasai pengetahuan atau kemahiran dapat membuat keputusan lebih baik dan bertindak lebih matang.
Jadi, kita tahu bahawa selain daripada intelek, jasmani, emosi dan rohani juga penting dalam menentukan kejayaan seseorang. Kita perlu agihkan masa secara imbang bagi meningkatkan tahap JERI dan bukan sahaja fokus pada satu.
No comments:
Post a Comment